Tuesday, December 4, 2007

Doa' Musafir Dibacakan oleh Hjh Tumirah & Hjh Senah di Rumah Pn Maspupah (bertudung Hitam)


Monday, December 3, 2007

IBADAH HAJI: ANTARA KEWAJIPAN & MANFAAT


Semua warga KABARE mengucapkan selamat berangkat ke Kota Mekkah dan Semoga dianugerahkan Allah Haji yang Mabrur kepada semua Keluarga yang pergi menunaikan Ibadah Haji, khususnya kepada Sdr Iman, Puan Maspupah dan Anakandanya Hafiza yang berangkat ke tanah suci pada 1 Dis. 2007.
Sehari sebelum mereka berangkat, mereka mengadakan majlis doa selamat dan kesyukuran dengan dihadiri oleh sanak saudara (lihat gambar-gambar di sebelah).

Ibadah Haji adalah suatu perjalanan Hamba menunaikan kewajipan kepada Allah swt dan Allah menyediakan pelbagai keistimewaan kepada hamba-hambanya yang taat.
Hadith Rasulullah saw; Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang dimasjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang dimasjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang dimasjid-masjid yang lain.” (Imam Ahmad)
Kelebihan Masjidil haram di mekah adalah disebabkan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam di dunia ini. Oleh itu Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya yang datang mengerjakan haji dan umrah agar dapat mengerjakan sembahyang sebanyak mungkin di kedua-dua masjid ini kerana fadhilatnya yang amat besar itu.
Pada lazimnya, para jamaah Haji juga akan berkesempatan melaksanakan ibadah Umrah.
DI Kota Madinah al-munawarah, para jamaah akan berkesempatan menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah seperti Masjid Quba, Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan bazaar kurma.
Di Mekkah, para jamaah juga berkesempatan melawat sekitar Masjidil Haram seperti Bukit Abi Kubis, tapak rumah Abu Bakar, tapak rumah Saidina Omar, tapak rumah Siti Khatijah ( Isteri Nabi ), Tapak rumah Abu Lahab, Rumah kelahiran Nabi Muhammad, Masjid Jin ( tempat Nabi Muhammad berdakwah pada golongan Jin), Masjid Syajarah (pokok yang datang bertemu Nabi ), Perkuburan Ma’ala (tempat Siti Khatijah dikebumikan) dan Pasar zink untuk melihat kawasan membeli belah.
Seterusnya untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah di Makkah seperti Jabal Thur, Arafah, Jabal Rahmah, Jabal Nur untuk melihat Gua Hera’ tempat Nabi menerima wahyu yang pertama.
Jemaah akan juga berkesempatan ke Ja’ranah untuk bermiqat dan seterusnya kembali ke Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah. Jamaah juga boleh ke Tanaim (Masjid Saidatina Aishah) untuk bermiqat (niat mengerjakan umrah) dan seterusnya kembali ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan ibadat umrah dan seterusnya jemaah bebas untuk beribadat di
Jika berkesempatan, elok juga jamaah pergi ke Hudaibiyah untuk melawat ladang unta dan tempat bersejarah di sekitar Hudaibiyah (Syumaisi) termasuk perigi Saidina Othman dan seterusnya bermiqat (berniat ihram umrah) kemudian kembali ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan rukun umrah. Sekiranya mendapat keizinan daripada pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi jemaah akan dibawa melawat ke muzium 2 Masjid (Masjid Nabawi & Masjidil Haram) dan Kiswah (kilang kelambu ka’abah) sebelum balik ke Masjidil Haram. Insya’Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
“pada ka’abah itu ada 120 rahmat kepada pengunjungnya pada setiap hari, iaitu 60 untuk tawaf, 40 untuk solat sunat dan 20 untuk melihat ka’abah”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang dimasjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang dimasjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang dimasjid-masjid yang lain.” (Imam Ahmad)

Ibadah Haji : Penyempurnaan Ketaatan Hamba Kepada Allah


Dalam surah ali Imran, ayat 96 dan 97, Allah Berfirman (Maksudnya) :
“Sesungguhnya mula-mula rumah tempat manusia (beribadat) ialah Baitullah (Kaabah) yang di Makkah yang mempunyai berkat dan pertunjuk kepada seisi alam. Di sana ada beberapa tanda yang nyata, di antaranya Makam (tempat berdiri) Ibrahim. Sesiapa memasuki Makkah nescaya mendapat keamanan. Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan hajji iaitu orang yang kuasa (berdaya) berjalan kepadanya. Sesiapa ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekelian alam".
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. diriwayatkan telah bersabda yang ertinya : "Agama Islam dibina atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadan".
Dalam bulan Zulhijjah inilah nanti, akan disempurnakan ibadah haji dimana umat Islam akan berkumpul di padang Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah itu . Tidak lama lagi, di kota Makkah, umat Islam dari segenap penjuru alam, akan bertawaf mengelilingi Kaabah dan memohon agar ibadah mereka diterima Allah. Mereka juga akan melaksanakan Sai’ diantara Safa dan Marwah, Pergi ke Padang Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina, meluntar jamrah dan sebagainya. Semuanya itu dilakukan atas tujuan melahirkan ketaatan atas perintah-perintah Allah.
Ibadah haji mengandungi hikmah dan manfaat yang sangat besar. Ianya termasuk diantara amalan-amalan utama sesudah beriman dan berjihad. Ini sebagaimana sabda Rasulullhah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang maksudnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya apakah amalan yang terbanyak keutamaannya. Baginda telah menjawab iaitu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Baginda ditanya lagi, kemudian amalan apakah, dijawab Baginda : berjihad pada jalan Allah, lalu Baginda ditanya lagi : lalu amalan apakah, lalu dijawab Baginda : Haji yang mabrur.
Apakah sebabnya ibadah haji ini diletakkan di antara amalan-amalan utama tersebut yang sangat besar pahalanya ? Ini adalah kerana manfaat dari ibadah Haji ini mencakupi kepentingan-kepentingan duniawi juga ukhrawi. Betapa tidak, penghayatan ibadah haji ini akan memupuk dan memperteguhkan dalam diri orang yang melaksanakannya sifat tunduk dan bertaqwa kepada Allah. Suasana yang di alaminya waktu mengerjakan Haji ini, ibadah-ibadah yang harus dilaksanakannya, semuanya itu akan memberi kesan pada diri dan jiwanya sehingga akan timbul azam dalam dirinya untuk memulai kehidupan baru, kehidupan yang lebih hampir kepada Allah. Akan timbullah tekad dalam dirinya untuk bertambah berbuat kebajikan dan menjauhi kemungkaran. Dari itu, ia akan berusaha membentuk peribadi dan kehidupannya agar terhias dengan nilai-nilai yang terpuji. Inilah yang digambarkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud : "Barangsiapa mengerjakan ibadah Haji dan dia tidak mengeluarkan perkataan-perkataan kotor dan tidak berbuat kejahatan, maka ia akan kembali laksana keadaannya dilahirkan oleh ibunya". Iaitu dosa-dosanya akan terhapus.
Tidak syak lagi, ketenangan jiwa dan kemantapan rohani yang akan dinikmatinya dari ibadah Haji ini, akan menjadikannnya lebih bersedia dan tenang menghadapi kehidupan hari ini dan yang akan datang.
Betapa tidak, dengan melaksanakan ibadah Haji ini, akan luaslah perjalanan, pemandangan dan pengalamannya. Bertambahlah pengetahuannya. Ia akan terdidik mengatasi kesulitan-kesulitan yang harus ditempoh, kebimbangan-kebinbangan yang timbul, meninggalkan keluarga, bertemu dengan keadaan yang ia tidak biasa menemuinya. Ini semua akan menjadikannya orang yang lebih bersedia menghadapi perkara-perkara yang mungkin timbul yang tidak dijangkakan. Ia akan menjadi orang yang terlatih menghadapi kesukaran dan dengan itu lebih mampu menghadapi gelombang kehidupan.

Wednesday, November 28, 2007

Gambar-gamabr KIK'07

KHEMAH IBADAH KABARE 2007 (KIK'07)

KABARE ANJUR KHEMAH IBADAH KELI KE DUA:
Khemah Ibadah musim kedua KABARE telah dijayakan di Masjid Kg Pt Betak Benut pada 23 hingga 25 Nov. 2007. Buat julung kali ia dianjurkan dengan kerjasama dan sokongan penduduk Khariah Masjid Pt Betak.
Seramai 60 pelajar sekolah dari kalangan warga KABARE dan penduduk Kg Pt Betak dan sekitarnya menyertai program yang dipenuhi dengan pelbagai acara dalaman dan luaran.
Antara objektif Khemah Ibadah ini ialah sebagai usaha untuk mendidik anak-anak kita yang disayangi lebih dekat dengan ajaran Islam. Pengisian dalam bentuk ceramah yang menarik mengenai kemuliaan Islam, mengenai Ibadah dan keunggulan keperibadian Nabi Muhammad saw dan para solihin di ketengahkan dalam bentuk ceramah, perbincangan, gerak kerja kumpulan dan amalan ibadat praktikal.
Ceramah motivasi dan pengurusan masa juga diberikan oleh penceramah agar para pelajar dapat terus merancang masa dengan berkesan ketika cuti ini dengan harapan mereka tidak membazirkan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Aktiviti luar seperti ’Telefon Karat’, ExploreKIK07, dan ’water game’ telah mewujudkan gerak kerja berkumpulan, kerjasama, semangat berpasukan dan semangat perjuangan. Semoga semangat setia kawan yang dibina akan melahirkan anak-anak yang perihatin dan saling hormat-menghormati semsama keluarga dan umat Islam.
Pelajar laki-laki bermalam dan beriktikaf di Masjid dan mereka telah mampu bangun awal dan dapat solat Subuh bersama jamaah di Masjid. Pelajar-pelajar perempuan yang tidur di rumah keluarga berdekatan juga telah dapat datang awal ke Masjid seawal jam 5.30pagi untuk mengerjakan solat. Semoga mereka akan dapat membiasakan diri dengan menjaga solat dan membiasakan amalan-amalan yang baik selepas Khemah Ibadah ini.

GOTONG ROYONG MENJAYAKAN KHEMAH IBADAH :
Kita semua bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua yang terlibat semenjak awal perancangan khemah ibadah. Idea awal dicetuskan oleh pak cik hj saadan ketika majlis hari raya kabare di syawal ke dua yang lalu, kemudian diikuti dengan mesyuarat di pt betak.
Kehadiran semua nyaii, yaii, pak cik dan makcik bergotong royong memasak di dapur masjid menyediakan juadah yang sedap kepada para peserta sungguh menyentuh hati dan sanubari. Sesungguhnya kehadiran mereka semua memberi semangat dan motivasi kepada anak-anak dan cucu-ccucu yang kita sayangi agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

TERIMA KASIH KEPADA KHARIAH MASJID : Pihak urusetia Khemah Ibadah KABARE benar-benar bersyukur kepada ALlah swt dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi dan Jawatankuasa Khariah Masjid Kg Pt Betak yang begitu perihatin, dan memahami aspirasi urusetia yang berusaha untuk mendidik anak-anak generasi pelapis kita agar berpegang kepada Islam yang mulia melalui Khemah Ibadah ini. Sesungguhnya kesudian tuan-tuan, tuan-tan Haji dan Tuan-tuan Imam memberikan kebenaran untuk kami berkampung beberapa hari akan diganjari ALlah dengan ganjaran yang besar. Aktiviti yang dijalankan pihak Masjid melalui Program Membudayakan Al-Qur’an dan Kuliah subuh serta tazkirah juga memberi manfaat kepada kami para peserta dan urusetia. TAHNIAH kepada Jawatankuasa Masjid yang telah berjaya menghidupkan masjid. Kami urusetia Khemah Ibadah juga mengembil kesempatan memohon maaf seandainya terdapat kelemahan dan perkara-perkara yang kurang sepanjang berkampung di Masjid Pt Betak.

Wednesday, October 17, 2007

Hari Keluarga dan Tahlil KABARE meriah

Pada 2 Syawal yang baru, sebagaimana yang dirancangkan ramai warga KABARE berkumpul di rumah Hj Maulani dan Hjh Tukilah. Seramai sekitar 100 orang warga datang berkumpul. Seawal jam 4 ptg. para hadirin mula tiba dan ada yang terus ke masjid Kg Pt Betak untuk solat Asar.
Ramai yang terpegun apabila ternampak kain rentang terpampang di depan rumah... "Selamat Datang Warga Kabare" ... Majlis dimulai dengan tahlil Jamai dan kirim aruah kepada ahli keluarga yang telah terlebih dahului menemui ALlah. Tahlil diketuai oleh Hj. Md Said Kandar. Majlis diikuti dengan ucapan oleh pengerusi KABARE yang menjelaskan aktiviti-aktiviti Kemah Ibadah dan Rehlah yang kan dijalankan Disember ini. Pengerusi juga meminta para warga mengisi borang biodata, penyertaan program dan menghantar kepada urusetia melalui wakil-wakil keluarga. Majlis juga dimaklumkan bahawa Koperasi Kabare akan ditubuhkan dan memerlukan sokongan semua ahli keluarga yang kini berjumlah 330 orang dari generasi pertama hingga ke eempat. Majlis kemudian diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada warga emas Kelab Kabare. Jamuan dan gambar beraai-ramai telah diadakan dihujung majlis. Liputan dari TV KABARE juga rancak di adakan oleh pengacara semi-profesional yang 'menerjah' kesana kemari mendapatkan maklumbalas berhubung majlis yang diadakan.
Secara keseluruhannya, sepanjang majlis tergambar keceriaan dimuka semua ahli KABARE yang menunjukkan kegembiraan dapat berkumpul dan berjumpa ahli-ahli kelaurga yang lama tidak berjumpa. Mereka berharap majlis serupa ini diadakan dengan lebih kerap. Tahniah kepada yang hadir. Kepada ahli KABARE yang tidak berkesempatan bertemu tahun ini, Insya ALlah kita akan bertemu tahun hadapan.

JK KABARE mengucapkan setingi-tinggi tahniah kepada kelaurga Nyaii Tuk/Hj Maulani yang telah membuat persiapan dengan jayanya samaada dalam bentuk persiapan tempat, jamuan, media dan sebagainya. Tentunya makanan disediakan oleh anak cucu nyaii Tuk... Sedap sungguh !!!

Marilah kita terus panjatkan doa kepada ALlah agar warga KABARE sentiasa diberikan taufik dan hidayah Allah swt dan dirahmati dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Saturday, October 13, 2007

SELAMAT HARI RAYA

Khususnya kepada semua Yaii-yaii dan Nyai-nyai warga Kabare, seterusnya kepada semua sanak saudara dan anak cucu-cicit. Marilah kita sambut kedatangan Syawal 1428 ini dengan penuh KEGEMBIRAAN, KEINSAFAN dan KESYUKURAN kepada Allah swt yang mengurniakan segala kenikmatan dan peluang hidup dan menyambut Hari Raya AL-Mubarak tahun ini. Marilah kita meningkatkan azam untuk terus mentaati ALLAH swt dalam keadaan khusus mahupun umum seterusnya menghubung dan mengeratkan silaturrahim sesama warga KABARE dan sesama Islam. Selamat Hari Raya, Takaballahu-minna-wa minkum. Semoga ALlah menerima segala amalan kita dan memberkati kehidupan di dunia hingga hari akhirat. Editor Blog Salam KABARE

Thursday, October 11, 2007

Tanggungjawab Anak

10 PANDUAN ANAK SOLEH YANG BERKESAN
(ANTARA PANDUAN YANG DIGALI DARIPADA AL-QUR’AN - SURAH LUQMAN)
Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak adalah ‘harta’ yang paling bernilai. Memang benar sangat bahawa anak-anak adalah lebih berharga dari tanah ladang, rumah dan kenderaan yang baik. Ini adalah kerana anak-anaklah yang akan mampu menolong kita apabila kita kembali kepada Allah swt. Oleh itu jika kita sebagi anak-anak kepada kedua ibu bapa perlulah memahami perkara-perkara asasi. Antaranya adalah :-
1. Tidak mempersekutukan Allah SWT, Syirik dan Murtad. Kerana ia merupakan kesalahan dan dosa yang amat besar. Keimanan yang mantap sesaorang akan memastikan segala amalan dan doa’ diterima Allah swt.
2. Berbuat baik kepada kedua ibubapa. Kenangilah penderitaan ibu yang mengandung kita dengan segala susah payah. Apabila kita dilahirkan, kita disusunya dan dijaganya sehingga besar. Doakanlah kesejahteraan ke atas mereka dan semoga Allah SWT akan menjaga mereka sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil sehingga dewasa.
3. Yang tidak boleh kita taati suruhan kedua ibubapa hanya apabila dipaksa syirik atau menyembah yang lain daripada Allah SWT (namun 'ketidaktaatan' ini harus dilakukan dengan cara yang baik - penuh hikmah, dakwah, siasah dan diplomasi) Ketaatan kepada ibubapa yang bukan Islam sekalipun (walaupun anaknya itu mualaf) masih diwajibkan (bukan taatkan suruhan mensyirikkan Allah SWT)
4. Jangan lupa Allah melihat segala gerak geri kita. Memahami bahawa segala amal ibadat kita diketahui oleh Allah SWT walau sekecil mana sekalipun
5. Mendirikan solat – Solat adalah tiang agama, jangan sampai agama kita ‘tempang’ disebabkan mengabaikan solat.
6. Menyuruh perkara kebaikan dan melarang perkara kejahatan (Amar Makruf Wa Nahyu Anil Mungkar) - dakwah lidah, hati dan anggota walaupun kepada keluarga dan anak-anak. Dakwah bukan tugas para ustaz dan pendakwah sahaja !.
7. Bersabar dan redha diatas segala dugaan
8. Tidak menyombong dan membanggakan diri samada kaya atau miskin, berpangkat ataupun tidak, berilmu atau tidak, tua atau muda atau berketurunan (orang baik-baik) dll.
9. Bersederhana dalam segala perkara.
10. Bersikap lemah lembut dan beradab sopan
(Petikan dari Abjad Net)

Pemergian Nyaii Tun - Sanak Saudara Sedih

SANAK SAUDARA SEDIH DI ATAS PEMERGIAN NYAII TUN NAMUN REDHA DAN TABAH
Semua ahli keluarga mengetahui kemuliaan dan kebaikkan hati dan akhlak seorang Hamba Allah yang bernama Jumiaton Hj Siraj.
Jiran tetangga juga begitu menghormati keunggulan budi pekerti dan kejernihan hati beliau.
Walaupun hidup sederhana, kemurahan hatinya terserlah melalui pengorbanan dan ‘rengan tulang’nya kepada sesiapa yang dikenalinya khususnya terhadap saudara mara tanpa mengira waktu. Masih terbayang kepada kita semua… rupa dan penampilan al-marhumah Nyaii Tun dalam apajua keadaan ketika majlis kenduri-kendara mahupun hari biasa. Walaupun mungkin dalam susah mahupun payah, kehadiran Nyaii Tun sentiasa terbayang. Beliau adalah seorang yang begitu ekrab dengan sanak saudara, sentiasa muncul menyumbang tenaga dan buah fikiran. Boleh dikatakan dalam apa jua majlis kecil ataupun besar, sumbangan dan komitmen di dalam memberikan kerjasama dalam aktiviti keluarga sebolehnya beliau tidak ketinggalan.
Tetapi takdir mengatasi segala-galanya… Allah telah menentukan bahawa beliau meninggalkan kita pada 21 Ramadhan tahun ini. Sememang kita kehilangan seorang saudara yang baik hati, rajin, ceria dan taat Allah.
Marilah kita doa’ kan semoga segala keikhlasan, pengorbanan den kebaikkan yang dicurahkan diterima Allah dan diganti Allah dengan kenikmatan dan rahmat Allah di alam kubur dan alam barzah.
Marilah kita jadikan kebaikkan hati, keringannan tulang dan komitmen menghulurkan pertolongan kepada sanak saudara yang beliau contohkan menjadi inspirasi untuk kita amalkan dalam kehidupan kita berkeluarga.

Adab Hari Raya

ADAB BERHARI RAYA DALAM ISLAM
Ditulis oleh Mohammad Shukri Osman Wednesday, 19 September 2007 http://pusatislam.eng.usm.my
Pertama:
Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hambanya.
Kedua:
Menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat tasbih hukumnya adalah sunat.
Ketiga:
Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidulfitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.
Keempat:
Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
Kelima:
Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya.

Keenam:
Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain. Ketujuh:
Sunat doa mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya: Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.
Kelapan:
“ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari di bulan Syawal adalah itu puasa setahun “ Riwayat Muslim.

Nyaii Jumiatun Pulang Ke RahmatuLlah

NYAI JUMIATUN BINTI HJ SIRAJ PULANG KE RAHMATULLAH
Setelah hampir dua tahun Nyai Jumiaton ditakdirkan Allah menjalani pembedahan di kaki kerana kesan dari menghidap sakit kencing manis. Allah telah mentakdirkan untuk menjemput al-Marhumah Jumiatun kembali menemuiNya pada Hari Rabu 3hb. Oktober 2007 bersamaan 21 Ramadhan 1428 lebih kurang jam 9.00mlm. Al-Marhumah meninggal di Melaka ketika dijaga oleh anak tersayang Saiful, menantu dan cucu-cucu yang tinggal di Melaka.
Jenazah telah dibawa dan dikebumikan di Kg Permatang Sepam.
Seluruh keluarga dan penduduk kampung menunggu dan menguruskan jenazah sehingga menghantar ke tanah perkuburan di kampung pada pagi Khamis.
Sama-sama kita mendoakan semoga roh al-marhumah Jumiatun diterima Allah dan diletakkan bersama orang-orang solihin.
Juga kita doa kan semoga keluarga yang ditinggalkan khususnya Yaii Kartubi diberikan kesabaran dan ketabahan dihati menarima segala takdir Yang Maha Kuasa.

Majlis Tahlil dan Perjumpaan H.Raya 1428

TAHLIL JAMA'I DAN PERJUMPAAN KABARE SEMPENA HARI RAYA
Hari Raya
akan tiba, Alhamdulilah. Marilah kita semua meraikan syawal dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Di hari yang mulia ini juga kita merapatkan hubungan persaudaraan dan saling bertemu setelah beberapa ketika tidak berjumpa oleh kerana urusan kerja masing-masing.
Di hari yang mulia ini juga kita akan saling membawa anak-anak untuk berjumpa dengan sanak saudara yang belum ditemui. Lek-lek, wak-wak, embah, nyai dan yaii juga nak kenal anak buah dan cucu-cucu baru.
Kita tentunya perlu kenali saudara-mara dan anak-anak buah. Juga perlu memperkenalkan anak-anak kita kepada saudara-saudara yang lebih tua agar mereka dapat ditanamkan rasa hormat kepada mereka yang lebih tua.
Budaya kita begitu mulia, ia tidak boleh dikorbankan dek kerana kehidupan modern dan kedudukan yang berjauhan.
Di atas tujuan itu, suatu perjumpaan semua keluarga KABARE dan TAHLIL JAMA'I akan di adakan pada HARI AHAD, 14 OKTOBER 2007, Bersamaan 2 Syawal, Jam 4.00 PETANG. Tempat perjumpaan di RUMAH NYAI HJH. TUKILAH/YAII HJ.MAULANI Insays Allah. HUBUNGI 013-4352539 (Dr. M.Zin), 017-7127394 (Saadan) atau 013-7888100 (Cikgu Nain). Sila berikan nama-nama ahli kelaurga yang telah kembali ke rahmatullah bersempena majlis Tahlil tersebut untuk sama-sama di bacakan tahlil.
Selain Meraikan Hari Raya, beberapa agenda akan kita bincangkan antaranya:-
a.Objektif penubuhan KELAB KERJAYA KELUARGA (KABARE) dan rasional; b.Skop dan keahlian Kelab Kerjaya Keluarga; c.Cadangan skop aktiviti; d. Cadangan pengaktifan dengan projek dan program.
Salah satu cadangan baru adalah penubuhan KOPERASI KABARE. Penubuhan KOPERASI milik keluarga sudah tiba masanya dibincangkan kerana banyak manfaat jika KOPERASI KABARE diwujudkan kerana banyak manfaat dari segi Ekonomi, Keusahawanan Keluarga, Kebajikan Keluarga dan Pembangunan Modal Insan Keluarga melalui pendidikan yang boleh kita perolehi dari agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pembangunan Koperasi, Maktab Kerjasama Malaysia dan lain-lain agensi seperti Mara dan lain-lain.
Semoga semua ahli keluarga dapat bertemu dan berbincang demi kebaikan masa depan kita dan anak-anak.