Thursday, January 10, 2008

SELAMAT TAHUN BARU 1429 HIJRAH

Alhamdulillah pada hari ini kita semua masih diketemukan ALlah swt menemui tahun Hijrah 1429. Bermakna Hijrah Rasulullah dalam perjuangan menyebar dan menegakkan Islam telah berlalu selama masa itu. Namun Alhamdulillah, bila di sebut Nama Nabi Muhammad saw, seolah-olah ianya kita rasai bukan suatu yang asing, malah kita rasai suatu yang sebati dalam kehidupan kita berkeluarga.
Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw sesungguhnya sentiasa releven di dalam kehidupan kita walaupun Rasulullah saw telah meninggalkan kita lebih 1400 tahun yang lalu. Oleh kerana Ajaran Islam yang kita miliki ini adalah wahyu dari ALlah yang Maha Berkuasa, ia adalah satu-satunya ajaran yang paling sesuai, lengkap dan bertepatan dalam kehidupan manusia sehingga akhir zaman.
Marilah kita semua bersyukur bersempena kedatangan Hijrah 1429 ini, kerana ALlah terus mengurniakan taufiq dan hidayah kepada kita. Islam akan menjadi pegangan untuk kita, anak-anak dan keturunan kita. Kefahaman dan kesedaran beragama haruslah kita pertingkatkan dan mantapkan. HIJRAH nabi SAW mengajar kita bahawa ummat Islam harus sentiasa berusaha dari suatu keadaan yang kurang baik kepada yang lebih baik. Kefahaman, amalan, akhlak dan syariat dalam kehidupan harian kita harus kita terus pertingkatkan. Antara caranya ialah dengan mempertingkatkan kefahaman dan kesedaran kita tentang Islam melalui majlis-majlis tazkirah, usrah dan ceramah.
Pastikan anak-anak kita juga secara berterusan meningkatkan ilmu dan membiasakan mereka dengan cara hidup, budaya dan adab-adab Islam yang mulia. Jauhkan mereka dari budaya dan cara hidup serta akhlak yang bertentangan dengan Islam.
Semoga kehidupan yang mendatang akan bertambah baik dan diberkati ALlah.
Selamat Memasuki Hijrah 1429, Semoga Kehidupan Kita Semua Bertambah Iman dan Taqwa.