Tuesday, December 4, 2007

Doa' Musafir Dibacakan oleh Hjh Tumirah & Hjh Senah di Rumah Pn Maspupah (bertudung Hitam)


Monday, December 3, 2007

IBADAH HAJI: ANTARA KEWAJIPAN & MANFAAT


Semua warga KABARE mengucapkan selamat berangkat ke Kota Mekkah dan Semoga dianugerahkan Allah Haji yang Mabrur kepada semua Keluarga yang pergi menunaikan Ibadah Haji, khususnya kepada Sdr Iman, Puan Maspupah dan Anakandanya Hafiza yang berangkat ke tanah suci pada 1 Dis. 2007.
Sehari sebelum mereka berangkat, mereka mengadakan majlis doa selamat dan kesyukuran dengan dihadiri oleh sanak saudara (lihat gambar-gambar di sebelah).

Ibadah Haji adalah suatu perjalanan Hamba menunaikan kewajipan kepada Allah swt dan Allah menyediakan pelbagai keistimewaan kepada hamba-hambanya yang taat.
Hadith Rasulullah saw; Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang dimasjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang dimasjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang dimasjid-masjid yang lain.” (Imam Ahmad)
Kelebihan Masjidil haram di mekah adalah disebabkan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam di dunia ini. Oleh itu Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya yang datang mengerjakan haji dan umrah agar dapat mengerjakan sembahyang sebanyak mungkin di kedua-dua masjid ini kerana fadhilatnya yang amat besar itu.
Pada lazimnya, para jamaah Haji juga akan berkesempatan melaksanakan ibadah Umrah.
DI Kota Madinah al-munawarah, para jamaah akan berkesempatan menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah seperti Masjid Quba, Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan bazaar kurma.
Di Mekkah, para jamaah juga berkesempatan melawat sekitar Masjidil Haram seperti Bukit Abi Kubis, tapak rumah Abu Bakar, tapak rumah Saidina Omar, tapak rumah Siti Khatijah ( Isteri Nabi ), Tapak rumah Abu Lahab, Rumah kelahiran Nabi Muhammad, Masjid Jin ( tempat Nabi Muhammad berdakwah pada golongan Jin), Masjid Syajarah (pokok yang datang bertemu Nabi ), Perkuburan Ma’ala (tempat Siti Khatijah dikebumikan) dan Pasar zink untuk melihat kawasan membeli belah.
Seterusnya untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah di Makkah seperti Jabal Thur, Arafah, Jabal Rahmah, Jabal Nur untuk melihat Gua Hera’ tempat Nabi menerima wahyu yang pertama.
Jemaah akan juga berkesempatan ke Ja’ranah untuk bermiqat dan seterusnya kembali ke Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah. Jamaah juga boleh ke Tanaim (Masjid Saidatina Aishah) untuk bermiqat (niat mengerjakan umrah) dan seterusnya kembali ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan ibadat umrah dan seterusnya jemaah bebas untuk beribadat di
Jika berkesempatan, elok juga jamaah pergi ke Hudaibiyah untuk melawat ladang unta dan tempat bersejarah di sekitar Hudaibiyah (Syumaisi) termasuk perigi Saidina Othman dan seterusnya bermiqat (berniat ihram umrah) kemudian kembali ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan rukun umrah. Sekiranya mendapat keizinan daripada pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi jemaah akan dibawa melawat ke muzium 2 Masjid (Masjid Nabawi & Masjidil Haram) dan Kiswah (kilang kelambu ka’abah) sebelum balik ke Masjidil Haram. Insya’Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
“pada ka’abah itu ada 120 rahmat kepada pengunjungnya pada setiap hari, iaitu 60 untuk tawaf, 40 untuk solat sunat dan 20 untuk melihat ka’abah”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang dimasjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang dimasjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang dimasjid-masjid yang lain.” (Imam Ahmad)

Ibadah Haji : Penyempurnaan Ketaatan Hamba Kepada Allah


Dalam surah ali Imran, ayat 96 dan 97, Allah Berfirman (Maksudnya) :
“Sesungguhnya mula-mula rumah tempat manusia (beribadat) ialah Baitullah (Kaabah) yang di Makkah yang mempunyai berkat dan pertunjuk kepada seisi alam. Di sana ada beberapa tanda yang nyata, di antaranya Makam (tempat berdiri) Ibrahim. Sesiapa memasuki Makkah nescaya mendapat keamanan. Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan hajji iaitu orang yang kuasa (berdaya) berjalan kepadanya. Sesiapa ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekelian alam".
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. diriwayatkan telah bersabda yang ertinya : "Agama Islam dibina atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadan".
Dalam bulan Zulhijjah inilah nanti, akan disempurnakan ibadah haji dimana umat Islam akan berkumpul di padang Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah itu . Tidak lama lagi, di kota Makkah, umat Islam dari segenap penjuru alam, akan bertawaf mengelilingi Kaabah dan memohon agar ibadah mereka diterima Allah. Mereka juga akan melaksanakan Sai’ diantara Safa dan Marwah, Pergi ke Padang Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina, meluntar jamrah dan sebagainya. Semuanya itu dilakukan atas tujuan melahirkan ketaatan atas perintah-perintah Allah.
Ibadah haji mengandungi hikmah dan manfaat yang sangat besar. Ianya termasuk diantara amalan-amalan utama sesudah beriman dan berjihad. Ini sebagaimana sabda Rasulullhah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang maksudnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya apakah amalan yang terbanyak keutamaannya. Baginda telah menjawab iaitu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Baginda ditanya lagi, kemudian amalan apakah, dijawab Baginda : berjihad pada jalan Allah, lalu Baginda ditanya lagi : lalu amalan apakah, lalu dijawab Baginda : Haji yang mabrur.
Apakah sebabnya ibadah haji ini diletakkan di antara amalan-amalan utama tersebut yang sangat besar pahalanya ? Ini adalah kerana manfaat dari ibadah Haji ini mencakupi kepentingan-kepentingan duniawi juga ukhrawi. Betapa tidak, penghayatan ibadah haji ini akan memupuk dan memperteguhkan dalam diri orang yang melaksanakannya sifat tunduk dan bertaqwa kepada Allah. Suasana yang di alaminya waktu mengerjakan Haji ini, ibadah-ibadah yang harus dilaksanakannya, semuanya itu akan memberi kesan pada diri dan jiwanya sehingga akan timbul azam dalam dirinya untuk memulai kehidupan baru, kehidupan yang lebih hampir kepada Allah. Akan timbullah tekad dalam dirinya untuk bertambah berbuat kebajikan dan menjauhi kemungkaran. Dari itu, ia akan berusaha membentuk peribadi dan kehidupannya agar terhias dengan nilai-nilai yang terpuji. Inilah yang digambarkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud : "Barangsiapa mengerjakan ibadah Haji dan dia tidak mengeluarkan perkataan-perkataan kotor dan tidak berbuat kejahatan, maka ia akan kembali laksana keadaannya dilahirkan oleh ibunya". Iaitu dosa-dosanya akan terhapus.
Tidak syak lagi, ketenangan jiwa dan kemantapan rohani yang akan dinikmatinya dari ibadah Haji ini, akan menjadikannnya lebih bersedia dan tenang menghadapi kehidupan hari ini dan yang akan datang.
Betapa tidak, dengan melaksanakan ibadah Haji ini, akan luaslah perjalanan, pemandangan dan pengalamannya. Bertambahlah pengetahuannya. Ia akan terdidik mengatasi kesulitan-kesulitan yang harus ditempoh, kebimbangan-kebinbangan yang timbul, meninggalkan keluarga, bertemu dengan keadaan yang ia tidak biasa menemuinya. Ini semua akan menjadikannya orang yang lebih bersedia menghadapi perkara-perkara yang mungkin timbul yang tidak dijangkakan. Ia akan menjadi orang yang terlatih menghadapi kesukaran dan dengan itu lebih mampu menghadapi gelombang kehidupan.