Monday, December 3, 2007

Ibadah Haji : Penyempurnaan Ketaatan Hamba Kepada Allah


Dalam surah ali Imran, ayat 96 dan 97, Allah Berfirman (Maksudnya) :
“Sesungguhnya mula-mula rumah tempat manusia (beribadat) ialah Baitullah (Kaabah) yang di Makkah yang mempunyai berkat dan pertunjuk kepada seisi alam. Di sana ada beberapa tanda yang nyata, di antaranya Makam (tempat berdiri) Ibrahim. Sesiapa memasuki Makkah nescaya mendapat keamanan. Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan hajji iaitu orang yang kuasa (berdaya) berjalan kepadanya. Sesiapa ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekelian alam".
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. diriwayatkan telah bersabda yang ertinya : "Agama Islam dibina atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadan".
Dalam bulan Zulhijjah inilah nanti, akan disempurnakan ibadah haji dimana umat Islam akan berkumpul di padang Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah itu . Tidak lama lagi, di kota Makkah, umat Islam dari segenap penjuru alam, akan bertawaf mengelilingi Kaabah dan memohon agar ibadah mereka diterima Allah. Mereka juga akan melaksanakan Sai’ diantara Safa dan Marwah, Pergi ke Padang Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina, meluntar jamrah dan sebagainya. Semuanya itu dilakukan atas tujuan melahirkan ketaatan atas perintah-perintah Allah.
Ibadah haji mengandungi hikmah dan manfaat yang sangat besar. Ianya termasuk diantara amalan-amalan utama sesudah beriman dan berjihad. Ini sebagaimana sabda Rasulullhah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang maksudnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya apakah amalan yang terbanyak keutamaannya. Baginda telah menjawab iaitu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Baginda ditanya lagi, kemudian amalan apakah, dijawab Baginda : berjihad pada jalan Allah, lalu Baginda ditanya lagi : lalu amalan apakah, lalu dijawab Baginda : Haji yang mabrur.
Apakah sebabnya ibadah haji ini diletakkan di antara amalan-amalan utama tersebut yang sangat besar pahalanya ? Ini adalah kerana manfaat dari ibadah Haji ini mencakupi kepentingan-kepentingan duniawi juga ukhrawi. Betapa tidak, penghayatan ibadah haji ini akan memupuk dan memperteguhkan dalam diri orang yang melaksanakannya sifat tunduk dan bertaqwa kepada Allah. Suasana yang di alaminya waktu mengerjakan Haji ini, ibadah-ibadah yang harus dilaksanakannya, semuanya itu akan memberi kesan pada diri dan jiwanya sehingga akan timbul azam dalam dirinya untuk memulai kehidupan baru, kehidupan yang lebih hampir kepada Allah. Akan timbullah tekad dalam dirinya untuk bertambah berbuat kebajikan dan menjauhi kemungkaran. Dari itu, ia akan berusaha membentuk peribadi dan kehidupannya agar terhias dengan nilai-nilai yang terpuji. Inilah yang digambarkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud : "Barangsiapa mengerjakan ibadah Haji dan dia tidak mengeluarkan perkataan-perkataan kotor dan tidak berbuat kejahatan, maka ia akan kembali laksana keadaannya dilahirkan oleh ibunya". Iaitu dosa-dosanya akan terhapus.
Tidak syak lagi, ketenangan jiwa dan kemantapan rohani yang akan dinikmatinya dari ibadah Haji ini, akan menjadikannnya lebih bersedia dan tenang menghadapi kehidupan hari ini dan yang akan datang.
Betapa tidak, dengan melaksanakan ibadah Haji ini, akan luaslah perjalanan, pemandangan dan pengalamannya. Bertambahlah pengetahuannya. Ia akan terdidik mengatasi kesulitan-kesulitan yang harus ditempoh, kebimbangan-kebinbangan yang timbul, meninggalkan keluarga, bertemu dengan keadaan yang ia tidak biasa menemuinya. Ini semua akan menjadikannya orang yang lebih bersedia menghadapi perkara-perkara yang mungkin timbul yang tidak dijangkakan. Ia akan menjadi orang yang terlatih menghadapi kesukaran dan dengan itu lebih mampu menghadapi gelombang kehidupan.

0 comments: